Benarkah penduduk Islam Kemboja makan daging setahun sekali?

Benarkah penduduk Islam Kemboja makan daging setahun sekali?

Mengenang kembali, tahun 2013, ketika pertama kali menjejak kaki ke Kemboja. Melirik bandar Phonm Penh, antara bandar pusat pelancongan negara ini. Negara yang pernah dikejutkan dengan kekejaman Khmer Rouge. Mungkin generasi muda kita tidak begitu mengenali siapa Khmer Rouge, namun di sisi penduduk Kemboja, mereka amat mengenali bukan sebagai seorang yang berjasa, tetapi sebagai seorang yang zalim dan tidak berperi kemanusiaan. Inilah antara yang akan kita lihat jika ke sebuah Muzium (Tuol Sleng Genocide Muzeum) kenangan di Phonm Penh, cerita dan watak-watak Khmer Rouge dan tinggalan kekejaman beliau masih hangat di sini.


Kepala di bawah, kaki di ikat di atas. Kepala di hunjamkan ke bekas air seperti gambar ini. Dapat anda bayangkan bagaimana siksaan sebegini, semata-mata untuk menyuruh mereka mengakui bahawa mereka menentang regim.

 Tuol Sleng Genocide Muzeum
Antara gambar mereka yang dipenjarakan dan di bunuh.

Tinggalkan cerita Khmer Rouge setakat itu, untuk menceritakan sebuah sejarah yang membingitkan, memang akan memakan helaian kertas yang panjang.

Ketika menjejak kaki ke Kemboja, kami menginap di sebuah hotel (mungkin 2 atau 3 bintang), namun selesa dan ruangnya agak besar. Di sebalik hotel berdiri megah di sini, suasana 'bandar' ini agak tidak seimbang, di mana-mana akan ada kanak-kanak yang meminta-minta, di mana kita lihat pelajar sekolah hanya berselipar, berbaju lusuh, tidak kurang 
kita lihat susun atur bangunan lama yang kurang penjagaan, dan infrastruktur yang masih banyak perlu diperbaiki.


Pelajar Sekolah di Phonm Penh dan seorang tua membawa barang jualan

Kedai Makanan Islam D'Nyonya, amat popular di kalangan rakyat Malaysia.

Kami, ketika pertama kali menjejak bumi Kemboja, dengan team dari Bestway Tours seramai 10 orang datang ke sini bukan untuk melancong, melainkan menyambung kebiasaan generasi dahulu dan sehingga sekarang akan meraikan penduduk Islam Kemboja beraya haji di sini. Betul, raya haji di Kemboja, umat Islam di Malaysia akan berkampung di hotel-hotel di Kemboja. Kita menyambung kebaikan dan kebajikan generasi sebelum kita dalam membantu ekonomi ummah di Kemboja.

Kenangan bersama Ustaz Asahari (Mudir Madrasah Chroy Metry, Kemboja)

Kita belum masuk kepada cerita sebenar. Begitulah sedikit mukadimah bagi sebuah pengembaraan di mata penulis. Kita menulis sedaya upaya mengambarkan keadaan yang kita rasai di sebalik 'kunjungan' raya Haji di Kemboja!

Ya, kenapa Kemboja? Kenapa harus menyembelih haiwan qurban di Kemboja? Bukankah di tempat kita sendiri ada juga yang miskin? Bukankan di tempat kita sendiri lebih utama? Ya, kenapa Kemboja?

Soalan-soalan ini seringkali dipertanyakan sehingga kini. Tidak merasai cinta tanpa melihat dengan mata hati.

Raya haji kami di Kemboja, malamnya kami bertakbir di atas sebuah cruise boat dan menikmati makan malam di atas boat yang boleh memuatkan dalam 10-20 orang. Ini sudah menjadi kebiasaan, trip ziarah Kemboja bersama eQurban dan juga Koperasi Muslim Kemboja, kami (Team Bestway) di raikan sebegitu pada ketika menjejak kali pertama di Kemboja, sehingga sekarang, suasana ini masih diteruskan.

 Menaiki Cruise Boat sambil menikmati makan malam dan suasana di bandar Kemboja




Esoknya, bermula pengembaraan kami, menelusuri kampung-kampung Islam Kemboja, bagi melaksanakan ibadah Qurban selepas sahaja menunaikan solat eid adha.

Antara kampung terawal yang kami ingati adalah Chroy Metry. Di sini terbinannya sebuah madrasah, yang di asaskan oleh Al Ansar Group (Team e Qurban bersama Koperasi Muslim Kemboja). Ketika tahun 2013, madarasahnya sudah siap dan di tambah baik pada masa tersebut. Menempatkan pelajar-pelajar Islam Kemboja, ada yang yatim piatu, dan sudah semestinya yang datang dari keluarga miskin. Qurban pertama kami di kampung ini, kampung Chroy Merty. Malamnya, daging qurban di agihkan kepada penduduk kampung di sekitar kawasan ini. Suasana kampung di sini, tidak kedengaran bunyi televisyen, bunyi sorakan muzik, yang kita dengar bunyi sorakan kanak-kanak bermain ala-ala kampung. Apa lagi permainan telefon bimbit seperti kanak-kanak zaman kita sekarang. Suasana ini, sepertimana kehidupan kita zaman 80 an, 90 an di Malaysia, dan mungkin terkebelakang lagi. Tidak ada yang dapat membangunkan anak-anak Kemboja melainkan ilmu, dengan ilmu mereka akan dapat menjana ekonomi mereka sendiri dan membangunkan masyarakat Islam mereka sendiri.

Gambar (tahun 2013) ini hendak menunjukkan bangunan dalam pembinaan (tambahan bilik kelas Madarasah Chroy Metry), juga bersama Hj Mashrukhin, CEO eQurban Resorces Sdn Bhd (berbaju biru)

Gambar tahun 2015, bangunan yang sama, sudah di sambung ke fasa seterusnya, tingkat 3.




Sepanjang di sini, setelah melaksanaka qurban dan mengagihkan daging qurban,  kami melihat di luar-luar rumah mereka akan daging qurban yang di agihkan akan di salai pada keesokkan harinya. Soalan yang bermain di fikiran kami, di jawab oleh seorang kenalan kami di Kemboja (Orang Kemboja yang pandai berbahasa melayu) bahawa daging itu di salai, kerana rumah-rumah di sini tidak mempunyai freezer (peti ais), jadi semua daging akan di salai,  malah ada yang menyimpan daging di rumah-rumah kawan mereka yang ada peti ais. Namun kebanyakkan mereka tidak ada.

Daging sebenarnya makanan mahal bagi rakyat Kemboja. Makanan setahun sekali ketika raya haji bukanlah cerita yang di buat-buat. Inilah cerita sebenar, bagi kebanyakkan penduduk Islam di sini, daging merupakan makanan mewah setahun sekali, yakni ketika raya haji, ketika sembelihan qurban di buat di sini.

Penduduk kampung melapah daging qurban. Keesokkannya akan di salai.

Tahun 2013 telah meninggalkan kita, tahun ini, di Malaysia sudah mempunyai bekalan air dan elektrik yang sempurna. Tidak di Kemboja, di kampung-kampung yang tidak berjauhan dari bandar, mereka masih menggunakan perigi bagi mendapatkan bekalan air berterusan. Keperluan perigi adalah perkara penting di sini, perigi-perigi ini di kongsikan dengan penduduk sekampung, dalam anggaran 1 perigi untuk 4-5 buah rumah yang berhampiran. Selepas tahun 2013, dengan dokongan eQurban dan Koperasi Muslim Kemboja (CMC), Bestway Tours telah memulakan projek wakaf perigi Kemboja, alhamdululillah, atas sokongan masyarakat Sarawak khususnya, 22 perigi wakaf telah di siap di bina di Kemboja atas inisiatif kami. Tahun-tahun selepas itu, kami akan melawat perigi-perigi yang sudah siap di bina, bagi memastikan perigi-perigi mendapat manfaat yang sewajarnya bagi penduduk kampung. Inilah Kemboja, mereka hidup dalam keadaan ketika kita dalam keadaan bersenang-lenang membazirkan air kita senantiasa!

 Antara 22 perigi wakaf di Kemboja atas insiatif Bestway Tours & Travel Sdn Bhd dan Bestway Group





Tinggalkan kisah air, tahun 2015 mencatatkan satu episod yang lebih mencabar dalam Trip Ziarah Kemboja 2015. Qurban tahun ini di buat di salah sebuah kampung di daerah Memot, Kemboja, yang lebih jauh, dan lebih mencabar. Perjalanan ke kampung tersebut mengambil masa dalam 5 jam. Seusai subuh, kami sudah bersedia menanti di lobby hotel bagi meneruskan perjalanan menziarahi kampung-kampung saudara kita. Perjalanan yang dimeterai dengan jalan tanah, dan berdebu dan sesekali berbatu. 

Sepanjang perjalanan, tidak ada rumah-rumah mewah yang kami lihat, semuanya rumah berkayu, dan di tinggikan sedikit kerana untuk mengelakkan banjir. Semuanya rumah kampung berpapan dan berkayu. Sampai di kampung Islam, kami dipertemukan dengan masyrakat Islam di sini, sesuatu yang sangat bermakna, kita menemui saudara Islam kita di bumi Kemboja, yang penduduk Islamnya minoriti. Kami melaksanakan sembelihan qurban di sini, dalam suasana kekampungan, majoriti penduduk di sini bekerja sendiri, dan tiada pendapatan tetap.

 Melalui jalan tanah, keadaan kehidupan anak-anak Kemboja untuk ke sekolah.








Kenangan tahun 2013 juga masih segar dalam ingatan. Kami menziarahi kampung Islam di Chou Doc (sempadan antara Kemboja dan Vietnam), perjalanan menaiki boat menelusuri Sungai Mekong. Perjalanan lebih singkat jika melalui jalan air berbanding jalan darat. Walaupun begitu, juga mengambil lebih kurang 5-6 jam juga untuk sampai ke kampung tersebut. Di sana ada sedikit kemajuan, surau dan masjid nya, antara yang di bina hasil daripada derma daripada kerajaan Arab Saudi.







                                                                Menaiki boat express ke Chou Doc

Kisah Lucu

Suka di ceritakan di sini, ada satu kisah lucu yang masih diingati setiap kali raya haji tiba. Kisah ini kami ceritakan di sini, sekadar untuk menjadikan pengembaraan kami di kenang-kenang bagi yang mengikuti. 

Sebenarnya, bukan kami sahaja yang ke Chou Doc, kami dalam rombongan bersama team eQurban, dan ada beberapa orang pakcik dan makcik bersama menaiki bas, kemudian melalui jalan air dan akhirnya sampai dan bermalam di sebuah pekan di Chou Doc. Hendak di jadikan cerita, setelah kami sampai, tidak di nafikan perut kami memang mencari makanan, amat letih dan lapar sebaik sampai di kampung Islam Chou Doc. Kami di pelawa makan di sebuah rumah, yang mengiringi kami, Ustaz Shafiee (Orang Kemboja). Makanan memang sudah di hidangkan dan dipersiapkan untuk kami, ia mungkin sudah termasuk di dalam pakej kembara kami. Dalam hati kami, amat bersyukur, selepas melihat makanan di hidang di hadapan mata. Lalu seorang pakcik yang mengikuti kembara ini, bersuara selaku 'orang tua' dalam rombongan ini.

Bertahlil sebelum menjamah makanan



"Sebagai menghargai jasa baik tuan rumah menyediakan makanan untuk kita, mari kita sama-sama bertahlil ringkas dan mendoakan untuk mereka sekeluarga". Lebih kurang beginilah ayat yang dinukilkan oleh pakcik tersebut, dalam keadaan kami amat lapar dan makanan dah dihidangkan!

Pakcik itu pun memulakan tahlilnya "AL Fatihah". Tahlilnya tidak lah seringkas yang kami harapkan, malah pembaca mesti pernah menghadiri majlis tahlil ala-ala Malaysia. Ketika itu, kami berpandangan sesama sendiri, dan menahan ketawa. Tidak dapat kami gambarkan, dalam keadaan perut berkeroncong, tahlil dan zikir menjadi habuan awal perut-perut kami. Akhirnya, setelah bertahlil dan mendoakan tuan rumah, kami pun sama-sama menjamu selera dalam keadaan menahan ketawa. Itulah satu kisah lucu yang kami akan tersenyum sendiri mengenangnya.

Kembara di Kemboja, menziarahi kampung-kampung Islam mereka di sini, sebenarnya amat seronok. Mereka ramah dengan pelawat yang datang ke kampung mereka, tidak lokek dengan senyuman, anak-anak mereka seperti anak-anak kita yang riang ria di perkampungan desa, anak-anak tidak berbaju adalah perkara biasa di sini. Mungkin di sebabkan cuaca panas.

 Keadaan rumah di sekitar kampung di Kemboja (ketika dalam perjalanan untuk melaksanakan ibadah qurban)


Di kampung-kampung mereka, kita belajar tentang sebuah kehidupan yang bersahaja. Tiada televisyen di kebanyakkan rumah mereka, tiada sofa atau kerusi, semuanya duduk bersila di lantai, kadang-kadang tiada air, kadang-kadang di sesetengah kampung, jam 9 malam bekalan elektrik sudah di catu, tiada lihat anak-anak mereka bermain gajet telefon mereka, istilah kais oagi makan pagi, kais malam makan malam adalah biasa bagi mereka, penduduknya bekerja sebagai nelayan, petani, ada juga yang bekerja sendiri, dan secara gambarannya, Malaysia pada tahun 80an atau 90an, begitulah gambaran mereka di sini.



Kami di sini bersama eQurban dan juga Koperasi Muslim Kemboja (CMC), di mana pembelian lembu dan kambing kita melalui Koperasi Muslim Kemboja, mereka menternak secara ladang lembu dan kambing ini, bukannya secara ternakan liar. Ternakannya sehingga beratus-ratus ekor dan mampu mencapai permintaan qurban lembu di sini. Apa yang menariknya, dengan pembelian lembu dari CMC, akan dapat menjana keutuhan ekonomi CMC, dan CMC akan dapat memberikan manfaat kepada madrasah yang ada dan sedang dalam pembinaan, ladang-ladang mereka, ternakan ikan mereka, membantu orang kampung membina perigi-perigi mereka, dan pastinya jaringan komuniti Islam di Kemboja sebahagiannya adalah daripada CMC. Satu koperasi Islam di Kemboja yang membangunkan masyarakat mereka dengan bantuan kita secara khususnya dan amnya.



Nah!Kenapa di Kemboja? Sungguh, mereka masih memerlukan sokongan dari Umat Islam seluruh dunia. Mereka saudara kita yang mengucap kalimah yang sama. Tautan kasih ini tidak akan putus sampai bila-bila. Jom kita laksanakan qurban dan aqiqah di Kemboja, bukan sekadar melaksanakan ibadah Qurban dan Aqiqah, namun sebagai sokongan ekonomi masyarakat Islam Kemboja, saudara kita.

(Penulis adalah salah seorang yang mengikuti Trip Ziarah Kemboja pada tahun 2013 dan 2015)

Post a Comment

My Instagram

Designed by OddThemes | Distributed by Blogger Themes