'RAHSIA' DI BUKIT SELABAT - TEMPAT HIKING & AIR TERJUN

 'RAHSIA' DI BUKIT SELABAT.

Bukit Selabat terletak di Kampung Selabat, Kuching. Perjalanan mengambil masa dalam 30 minit dari Kuching menuju ke Muara Tebas. Tidaklah berapa jauh dari Kuching.
Bukit Selabat, di kenali dengan pemandangan yang indah, air terjun yang menyegarkan, dan pelbagai lagi yang indah. Betulkah?
Baik, sebelum menjawab soalan di atas, penulis pergi sendiri ke sana di temani beberapa orang sahabat.
Sebenarnya, secara terur terang, penulis bukanlah peminat 'hiking', malah ketika menerima ajakan kawan-kawan, penulis hanya inginkan untuk ke lapangan air terjun sahaja, selain itu penulis bukanlah yang suka meneroka hutan bentara, naik dan turun bukit. Semuanya semata-mata untuk ke air terjun sahaja, itulah motivasi sebenar penulis, selain 'view' yang di gambar cantik di Bukit Selabat.
Faham kan, motivasi penulis, kenapa penulis 'terus on' plan untuk ke Selabat, semata-mata air terjunnya.
Walaupun di kalangan sahabat sudah banyak kali 'mendaki' bukit matang yang bertar (point ini amat penting ya kawan-kawan), namun 'mendaki' jalan bertar amat berlainan dengan meredah hutan belantara , lagipun umur kami semua sudah melepasi 40 tahun (ini pun point penting), melainkan anak sahabat yang muda remaja.
Di ceritakan, sebelum kami pergi esoknya, group whatsapp kami telah mendapatkan info tentang bukit Selabat, naik berapa minit dan masa turun berapa minit, lalu adalah 'sedikit gelisah' di kalangan sahabat memandangkan bukan calang-calang juga bukit ini. Ada yang memikirkan pelbagai keadaan nanti yang berlaku semasa pendakian, lalu penulis menyatakan dalam group, 'naik sahaja' jangan fikir bukan-bukan.
Kami mulakan perjalanan dengan Bismillah.
Ya, seawal 6.30 pagi kami berangkat dari rumah, ada yang carpool dan ada yang turun sendiri memandangkan lokasi rumah berbeza. Penulis sudah memesan dengan orang rumah, kami mungkin balik petang (ini kerana dengan kecergasan umur 40 an, tidak mungkin kami akan dapat naik sepantas seperti muda remaja dahulu...ini anggapan penulis..adakah betul?) Isteri pun cakap, lama betul (krik..krik krik...)
Sampai di kaki Bukit Selabat, kami mendaftar diri, membayar guide dan bayaran masuk seperti biasa, kami sudah pun menempah guide untuk membawa kami 'hiking' dan meredah hutan hijau ini.
Awalnya, semua bersemangat, memakai suit lengkap seorang 'hiking' kononnya. Kami mula berjalan-jalan dengan hutan dengan gembira. Guide memaklumkan dengan kami, kita akan ke 'batu putih' dahulu kemudian akan turun menuju air terjun. Kami menurut sahaja, takkan kami nak bantah kan...he he..
Berkobar-kobar lah motivasi kami, yang kami namakan Misi Bukit Selabat 2021 (MBS 2021), konon untuk menawan Bukit Selabat.
Mulanya jalan landai, kemudian semakin curam, dan semakin semakin curam...wow..adakah kami teruja? Tidak kawan-kawan, kami dah mula rasa 'lain' di hati.
Bagi kami yang bukan 'group hiking' dan berumur 40 an dan tidak 'fit' kecuali beberapa orang di antara kami yang 'fit', adalah satu 'kejanggalan' di dalam hati untuk 'bersusah payah' mendaki hutan belukar ini, dan ada laluannya amat mencabar sangat..ha ha....mencabar kawan-kawan, sebab ada di kalangan kami yang gayat.
Tidak keterlaluan jika kami katakan...aargh..nanti di akhir sekali kami simpulkan ya....
Akhirnya kami sampai juga di atas pemandangan yang indah (bagi penulis 'biasa' sahaja sebab ketinggian bukit ini tidaklah tinggi sangat, maka view nya tidaklah 'wow' sangat.. tapi oklah)





Bergambar di batu putih ini pun, kami harus naik mendaki menggunakan tali, batu yang besar tapi tidaklah luas.
Alhamdulillah misi pertama selesai. Tahniah kawan-kawan.
Kami kembali dengan objektif kedua, ke tempat air terjun.
Kami mula menurun bukit, naik bukit, turun dan naik semula. Ada di kalangan kami memang sudah 'pancit'. Jauhnya berjalan dengan dakian dan turun bukit, dan di sesetengah tempat khusus perlu langkah berjaga-jaga, amatlah payah. Ya, amat payah bagi kami yang bukan group hiking barangkali.
Berjalan lagi, dengan tertanya-tanya di hati, dalam keadaan amat letih, peluh-peluh menitis di wajah, dan rasanya mungkin berat kami sudah turun 1 kg! Mimpi betul.
Belum lagi sampai ya, jalan lagi, landai, naik lagi bukit, naik lagi batu-batuan, dan sesekali rehat dan memikirkan 'alangkah indah kalau dapat tidur 15 minit untuk recharge tenaga', namun itu semua khayalan semata.
Akhirnya kami sampai 'port' air terjun pertama, di atas sedikir adalah 'port' air terjun kedua. Port yang pertama ini, kami ambil peluang untuk rehat sahaja, tidak mandi sebab port ini agak kurang menarik.
Setelah rehat, kami panjangkan kaki menuju ke port air terjun kedua, tak jauh, namun keletihan itu amat terasa. Malah, ketika bunyi air terjun sudah 'menyanyi' betapa riang dan hati kami untuk cepat sampai.
Di port kedua inilah, kami menjamu makanan sedikit, hanya sedikit, di sebabkan kami semua kehabisan air minuman dan perlu berjimat, makanan cuma sedikit kami sentuh (hanya untuk 'menebal' kata orang Sarawak).



Akhirnya kamu menikmati air terjun yang luas biasa di port kedua. Airnya yang sejuk, bersih, dan amat 'hijau'. Betul-betul tidak tercemar dengan 'pembangunan jahat' manusia. Penulis sendiri kehabisan air (di sebabkan ada kawan yang telah mengurangkan air bawaan penulis), lalu penulis pun minum sahaja air terjun ini. Segar lah..ha ha..namun penulis taklah minum banyak sekadar mengurangkan dahaga.
Mungkin lebih 20-25 minit mandi air terjun, dan biarkan air terjun itu 'membadai' belakang badan dan kepala, amat menyegarkan dari penat lelah dan 'recharge' sedikit tenaga.
Tiba masanya untuk kami kembali, sebab tengahari sudah menuju waktu. Sebelum cuaca panas memberikan sinar, dan akan menyebabkan kami memerlukan tenaga luar biasa, kami bersedia untuk pulang.




Walaupun begitu, tidak seindah khabar pulang ke kampung, perjalanan yang di katakan mengambil masa 45 minit, kami mengambil masa mungkin lebih 1 jam. Letih, kaki sudah 'meletup', otot-otot sudah inginkan kerehatan, kami berjalan satu jam lebih dalam keadaan begini. Bayangkan. Memang penat.
Dalam hati kami, berdoa Allah mudahkan perjalanan, juga senantiasa terdetik di dalam hati kami, kenapalah kami ke sini..ha ha..ha..
Kami naik, turun, naik dan turun, turun dan naik, sesekali penulis berhenti menemani kawan yang memang sudah tidak larat berjalan tanpa henti. Ada sesekali ketika berehat, penulis memikirkan jika ada binatang buas yang menghampiri, sudah tiada kudrat melawan, hanyalah Allah sahaja tempat berserah.
Terus berjalan dan berjalan, mendaki dan menurun, akhirnya kami mendengar deruan bunyi kenderaan berhampiran, nyatalah tidak lama lagi kami akan sampai.
Seperti fatamorgana, dan mimpi di siang hari, semua itu hanyalah penguat motivasi, namun hakikatnya masih jauh kami perlu berjalan di dalam hutan ini. Ya masih jauh.
Akhirnya, kami sampai juga, pertama kami melihat lalang, dan tahulah kami lalang yang tumbuh segan tak mahu itulah penamat segala keletihan kami, kepenatan, dan dahaga kami.
Ya, kawan-kawan, naik jalan bertar menuju bukit matang, Bau tidaklah sama dengan pendakian hari ini.
Tidaklah sama yang berjiwa 'hiking' dengan kami yang sekadar hendak berseronok sahaja.
Tidak sama. Kami penat dan sejujurnya ada sedikit penyesalan.
Akhirnya, majoriti kami (mungkin tidak semua) menyatakan, inilah kali pertama dan kali terakhir kami mendaki Bukit Selabat ini.
Betul, air terjun dan air 'hijau' ini mungkin antara
terbaik
di dunia. Penulis bercakap tentang keasliannya, namun bagi kami yang 'tidak fit', tidaklah sepadan kepenatan dan lelah kami ke sini semata-mata air terjunnya atau pemandangannya.
Bagi yang kaki 'hiking' mungkin ini suatu yang berpadan dengan mereka, namun tidak kami yang sudah berumur ini, sesuai juga untuk anak-anak muda remaja dan 35 tahun ke bawah.
Selamat menerokai rahsia Bukit Selabat pembaca semua.
Kami sudah insaf, cukuplah sekali seumur hidup.
Ikhlas
Bahtiar bin Mahidin
Usahawan, Aquarist, Alami
31 Julai 2021
(Setelah turun dari Bukit Selabat)

Post a Comment

My Instagram

Designed by OddThemes | Distributed by Blogger Themes